Sabtu, 28 Mac 2009

KAEDAH MEMBUAT BISKUT DAN KEK III

C. Kaedah Enjut

1. Kaedah enjut adalah gula dan telur dienjut bersama sehingga kembang dan gebu sebelum dimasukkan tepung.

2. Kaedah ini tidak menggunakan lemak.

3. Udara dimasukkan sebanyak mungkin sewaktu proses mengenjut supaya hasil masakan ringan.

4. Sukatan asas ialah setiap biji telur dicampur dengan 30 gm gula dan 30 gm tepung.

5. Tekstur kek kaedah enjut adalah kering dan tidak tahan lama.

6. Kek kaedah ini dikatakan berkualiti jika;

a) teksturnya ringan dan lembut

b) permukaannya rata dan tidak tenggelam di bahagian tengah

c) tidak mengandungi ketul-ketul kecil dalam kek

d) berwarna kuning keemasan

7. Contoh kek kaedah ini adalah bahulu, bahulu gulung dan bahulu lapis.

Bahulu

Bahulu gulung

Bahulu lapis

KAEDAH MEMBUAT BISKUT DAN KEK II

B. KAEDAH PUTAR

1. Kaedah ini memerlukan lemak dan gula diputar sehingga menjadi kembang, ringan, gebu dan berwarna putih.

2. Sukatan asas bahan-bahan utama ialah
Tepung = 250gm / 1 bahagian
Lemak = 125gm - 250gm / 1/2 - 1 bahagian
Gula = 125gm - 250gm / 1/2 - 1 bahagian

3. Sukatan asas bahan-bahan untuk membuat biskut dan kek dengan kaedah putar adalah sama.

Biskut Kaedah Putar
1. Bahan utama untuk membuat biskut ialah:
a) Tepung - tepung gandum
b) Lemak - mentega atau marjerin
c) Gula - gula halus, gula kastor dan gula perang
d) Cecair - susu, air, telur
e) Perisa - perisa jenis serbuk : serbuk koko, serbuk kopi atau rempah
- perisa jenis cecair : pelbagai jenis esen dan jus buah-buahan
- buah-buahan kering dan segar : badam, kismis
2. Biskut kaedah ini adalah biskut badam, biskut serpihan coklat, biskut oat dan biskut cornflakes rangup.

biskut badam

biskut serpihan coklat

biskut cornflakes rangup
Kek Kaedah Putar

1. Jenis kek yang dihasilkan dengan kaedah ini boleh dibahagikan mengikut kadaran lemak dan gula kepada tepung yang dicampurkan.
2. Kek ringkas (kurang lemak) ialah kek yang sukatan tepung sama jumlah sukatan lemak dan gula. Contohnya, 240gm tepung dicampur dengan 120gm gula dan 120gm lemak.
3. kek kaya (lebih lemak) ialah kek yang sukatan lemak, gula dan tepung adalah lebih kurang sama. Contoh, 240gm tepung dicampur dengan 180gm-240gm lemak dan 180gm-240gm gula.
4. Contoh kek ialah kek permaisuri, kek pelangi, kek coklat.

kek coklat
kek permaisuri yang diaisingkan
kek pelangi

Jumaat, 27 Mac 2009

KAEDAH MEMBUAT BISKUT DAN KEK I

A. Kaedah Gaul Dan Ramas

* lemak dan tepung digaul ramas dengan hujung jari sehingga menjadi seperti serbuk roti.
* kadaran tepung kepada lemak ialah satu bahagian tepung dengan 1/2 atau 1/3 bahagian lemak

a. Biskut kaedah gaul dan ramas

tart nenas

biskut kacang

biskut makmur

biskut samperit


b. Kek kaedah gaul dan ramas


* contoh kek kaedah ini ialah ban batu karang, ban jem, ban kismis, ban kelapa dan kek bantal.

c. Pastri

* Pastri adalah campuran tepung, lemak dan cecair yang dihasilkan dalam bentuk doh.

* Pastri yang disediakan dengan kaedah gaul dan ramas dikenali sebagai pastri rapuh.

* Tekstur pastri adalah rangup, rapuh dan ringan.
* Contoh pastri yang menggunakan kaedah ini ialah karipap, sardin gulung, pai, paf/flan.

sardin gulung

karipap

Rabu, 25 Mac 2009

MINUM PAGI DAN MINUM PETANG

1. Minum pagi atau minum petang merupakan satu hidangan yang ringkas di antara waktu makan yang utama

2. Hidangan yang manis dan savouri (pedas) seperti kuih-muih tempatan adalah sesuai untuk minum pagi atau minum petang.

3. Kuih tempatan merupakan kuih yang dihasilkan dengan menggunakan bahan tempatan seperti pisang, ubi keledek, ubi kayu, sagu, tepung beras, tepung pulut, gula melaka, keladi, santan dan sebagainya.

4. Kuih daripada bater cair atau bater pekat juga boleh dihidangkan.

5. Bater merupakan adunan campuran tepung dan cecair seperti susu, air dan santan.

6. Bater cair mempunyai konsistensi berkrim dan cair, mudah dituang - dikenali juga sebagai beter pankek atau lempeng.

7. Bater pekat adalah berkrim dan pekat - untuk menyadur makanan

Kuih Rengas ( bater pekat/sadur)

Kuih kosui (bater cair)

Kuih abuk-abuk sagu (sagu, kelapa dan gula melaka)

Kuih badak (kelapa, ubi keledek)

Isnin, 23 Mac 2009

MAKAN TENGAH HARI DAN MAKAN MALAM

Memilih dan merancang menu makan tengah hari dan makan malam.

Makan tengah hari dan makan malam merupakan hidangan utama harian kita.
Menu hendaklah seimbang dan berkhasiat.
Menu yang dirancang dapat memenuhi cita rasa, pelbagai dari segi rupa, warna, tekstur dan kaedah memasak.
Boleh memilih hidangan sepinggan lengkap seperti nasi goreng, burger, nasi ayam dan sebagainya.
Dihidang secara rasmi dan tidak rasmi.

Pemilihan menu berdasarkan;

Masakan utama (protein) = kari daging, ayam goreng, ikan masam manis, sotong sumbat, sambal udang dn sebagainya.
Makanan yang mengenyangkan = nasi, mee, roti, kuetiau dan lain-lain
Sayur-sayuran = sup sayur, sawi goreng, terung panggang
Pencuci mulut = puding jagung, bubur caca, stew nenas
Minuman = Air tembikai, air limau, air laici


Contoh Hidangan Tengah Hari atau Malam.



Ahad, 22 Mac 2009

SARAPAN PAGI

Sarapan pagi adalah sesuatu yang amat penting
Setelah lebih kurang 5-7 jam kita tidur, dan sebenar banyak tenaga dihabiskan sewaktu kita tidur. Ya, sewaktu kita tidur pun banyak tenaga digunakan. Kira-kira seketul ayam goreng nilai tenaga yang digunakan. Sewaktu kita tidur tenaga digunakan untuk tumbesaran dan seumpamanya.

Jadi kehilangan tenaga yang banyak memerlukan kita mengantikan dengan bekalan tenaga yang baru secepat mungkin atau di awal pagi kerana kita akan menjalani kehidupan yang lebih aktif di siang hari. Pelbagai aktiviti dilakukan dan sudah tentu banyak tenaga yang diperlukan.

Rugi jika tidak mengambil sarapan pagi
Apabila seseorang tidak mengambil sarapan pagi, paras gula dalam darah akan menjadi rendah. Ini akan mengakibatkan kekurangan bekalan nutrisi pada otak dan menjadikannya kurang aktif.

Pakar pemakanan sependapat bahawa mengambil sarapan adalah sumber pertama untuk memulakan kehidupan seharian, sekali gus mencergaskan minda. Kajian terbaru menunjukkan orang yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan yang lebih baik.

Berapa kuantiti yang sarapan yang diperlukan?
Kuantiti pemakanan harian yang diperlukan adalah mengikut keperluan individu. Tetapi bagi saya, saya suka makan banyak di waktu pagi.

Pemilihan sarapan terutamanya yang kaya dengan karbohidrat, membekalkan tenaga, mampu menahan rasa lapar dan mengawal keinginan untuk makan di antara waktu sarapan dan makan tengah hari.

Pemilihan sarapan

Hidangan untuk sarapan haruslah seimbang, mudah dan cepat disediakan supaya tidak perlu berkejar masa untuk menikmatinya.

Sarapan sihat sebaiknya mengikuti pola makanan seimbang yakni komposisi karbohidrat 60-68 peratus, protein 12-15 peratus, lemak 20-25 peratus, dan serat 10-15 gram. Selain itu, porsi sarapan juga minima mencapai 20 hingga 25 peratus dari jumlah keperluan kalori selama satu hari.

contoh sarapan pagi cara timur



contoh sarapan pagi cara barat

Diet Seimbang

Diet Seimbang
Diet seimbang ialah sajian makanan yang mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh dengan kadar yang betul. Tubuh yang tidak menerima nutrien yang mencukupi dan seimbang akan menghadapi masalah penyakit. Setiap diet harus termasuk protein, karbohidrat (gula dan kanji), lemak, vitamin dan mineral. Tubuh anda memerlukan bekalan tetap nutrien ini untuk membesar, menggantikan tisu-tisu lusuh dan memberikan tenaga.

Prinsip Asas Diet Seimbang
Tiada satu makanan yang dapat membekalkan semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Contohnya, beras membekalkan karbohidrat, manakala ikan kaya dengan protein.
Piramid makanan merupakan panduan yang berjaya membantu kita merancang makanan harian yang seimbang.



Tabiat Makanan Yang Sihat
Amalkan tabiat makan sajian makanan yang seimbang, seing mempelbagai makanan yang dimakan, dan tidak memilih makan yang digemari sahaja.
Makan mengikut waktu bukan kerap makan atau biarkan perut terlalu kosong
Displin diri dalam pengambilan makanan dengan aktiviti supaya sihat dan berat badan dapat dikawal.

Mengamalkan pengambilan makanan yang terjaga kebersihannya
Minum air masak secukupnya kerana tiga perempat tubuh badan manusia terdiri daripada air
Jangan mudah dipengaruhi iklan untuk memakan makanan yang manis, tinggi kandungan garam , terlalu berlemak dan berminyak.



Sabtu, 21 Mac 2009

PENGIRAAN KOS HIDANGAN SEPINGGAN LENGKAP

HIDANGAN SEPINGGAN LENGKAP

1. Pengenalan

Hidangan sepinggan lengkap ialah satu hidangan yang seimbang dan mengandungi semua jenis nutrien yang diperlukan oleh tubuh badan. Nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan garam mineral terdapat dalam satu hidangan dengan kadar yang berpatutan. Biasanya hidangan ini disediakan dalam satu pinggan atau satu pinggan dan satu mangkuk. Contohnya nasi ayam, di mana nasinya dihidangkan di dalam pinggan dan kuahnya pula dalam mangkuk yang berasingan. Hidang sepinggan lengkap boleh dihidangkan sebagai hidangan utama atau hidangan sampingan. Kelebihan hidangan ini ialah mempunyai khasiat yang mencukupi, mudah disediakan dan dimasak, menjimatkan masa dan tenaga serta boleh dihidang secara peranggu meja atau berpek.

Jenis hidangan sepinggan lengkap boleh dibahagikan mengikut cara timur, cara barat dan budaya serempat. Hidangan sepinggan lengkap cara timur sangat popular di negara kita. Hidangan seperti nasi lemak, mi goreng, nasi goreng dan sebagainya sentiasa dihidang sebagai sarapan atau bekalan ke sekolah, pejabat atau semasa berkelah. Budaya makanan kita telah banyak dipengaruhi oleh makanan cara barat contohnya burger, piza, sandwic, makaroni dan sebagainya. Budaya setempat juga banyak mempunyai makanan istimewanya seperti negeri Johor terkenal dengan lontong dan laksa Johor, negeri Kelantan pula popular dengan nasi kerabu, negeri Perlis dengan laksa Perlis dan sebagainya.

2.Contoh hidangan secara timur.


Mee Kari
Bahan untuk kuah;

8 ulas bawang putih }
3 sudu besar cili kering }
1 inci halia } kisar
10 biji bawang merah }
minyak masak
5 sudu besar serbuk kari daging
2 biji kelapa (ambil santan)
tulang lembu / ayam (direbus empuk)
sedikit gula
garam
daun kari

Bahan lain.

500 gm mee kuning - dicelur
Tauge - dicelur
bawang goreng
fish cake - dipotong
telur rebus
kerang - 1/2 masak
Tauhu - digoreng
jika suka boleh di tambah sambal tumis.

Cara membuat;

1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan yang telah dikisar bersama daun kari.
2. Masukkan rempah kari daging dan masukkan sedikit air - biar masak rempah.
3. Masukkan tulang lembu bersama sedikit air rebusan.
4. Apabila telah mendidih, masukkan santan, gula, garam, kerang 1/2 masak dan fish cake.
5. Biar seketika dan suaikan rasa - angkat.
6. Celur mee dan toskan.
7. Masukkan mee ke dalam pinggan, masukkan semua bahan iringan dan kuah...siap untuk di makan.


3. Contoh Hidangan Sepinggan Lengkap secaara barat(Makaroni Goreng) Dan Jus Tembikai.

Hidangan ala barat ini sesuai dihidangkan sewaktu mengadakan majlis hari lahir untuk ibu atau untuk keluarga yang lain. Berikut adalah contoh gambar Makaroni Goreng.


Makaroni Goreng



3. Bahan-Bahan Yang Digunakan Untuk Membuat Makaroni Goreng Dan Jus Tembikai.

perancangan kerja : Senarai ramuan untuk menyediakan hidangan untuk dua orang.


a. PILIHAN MASAKAN RAMUAN UTAMA

Makaroni Goreng
100 gm makaroni
50 gm tauge
60 gm daging ayam
60 gm udang kecil
50 gm sayur campuran
dingin beku
3 camca besar minyak masak
1 camca teh gula
2 camca besar sos tomato
3 camca besar sos cili
¼ camca teh garam

Bahan tumis (tumbuk):
4 biji cili merah
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih

Bahan hiasan:
1 biji cili merah (mayang)
1 biji limau kasturi

KAEDAH MEMASAK
Merebus dan menggoreng


b. PILIHAN MASAKAN RAMUAN UTAMA

Jus tembikai
1/6 biji tembikai
½ cawan air gula
1 gelas air masak
1 cawan ais kiub


4. Kos Pengeluaran Untuk Menyediakan Sepinggan Makaroni Goreng Dan Jus Tembikai.

Pengiraan kos bertujuan untuk mengetahui jumlah kos sesuatu hidangan. Kos pengeluaran mengandungi kos bahan, kos upah dan kos overhed. Kos bahan terdiri daripada kos bahan kering dan kos bahan basah. Kos upah ialah kos bayaran tenaga kerja untuk memasak hidangan dan kos overhed merupakan perbelanjaan selain daripada kos bahan dan kos upah. Formula untuk mengira kos hidangan adalah seperti berikut;

Kos Pengeluaran (kos sajian) = Kos bahan + Kos upah + Kos overhed (kos sampingan)

Pengiraan Kos Pengeluaran Untuk Menghasilkan Sepinggan Makaroni Goreng Dan Jus Tembikai

A. Kos bahan. Bahan Kuantiti Kos seunit(RM ) Jumlah (RM)

Bahan Kering: Makaroni 100 gm 8.00 / kg 0. 80
Bawang merah 5 ulas 3.00 / kg 0. 20
Bawang putih 4 ulas 2.80 / kg 0. 10
Sos tomato2 camca besar 2.80 / botol 0. 30
Sos cili 2 camca besar 3.00 / botol 0. 35
Minyak 3 camca besar 3.50 / kg 0. 20
Gula ½ cawan gula 1.60 / kg 0. 30
Garam ¼ camca teh 0.50 / peket 0. 05

Jumlah 2. 30

Bahan Basah: Daging ayam 60 gm 6. 30 / kg 0. 40
Udang 60 gm 5. 50 / kg 0. 30
Cili merah 5 biji 4. 50 / kg 0. 80
Tauge 50 gm 3. 50 / kg 0. 20
Sayur campuran 50 gm 5 .50 / kg 0. 25
Limau kasturi 1 biji 2. 40 / kg 0. 10
Tembikai 1/6 biji 3. 80 / kg 0. 50
Ais kiub 1 cawan 0. 50 / kg 0. 05

Jumlah 2. 60
Kos bahan = kos bahan kering + kos bahan basah
= RM 2.30 + RM 2.60
= RM 4.90


B. Kos upah
Masa untuk menyedia dan memasak Makaroni Goreng ialah 1 jam. Kadar kos upah untuk kerja yang dijalankan sendiri ialah RM 3.00 sejam.

Kos upah = Bilangan pekerja x masa x kadar upah sejam
= 1 orang x 1 jam x RM 3.00
= RM 3.00



C. Kos overhed atau kos sampingan
Kos sampingan yang terlibat untuk memasak Makaroni Goreng adalah seperti berikut:

Gas = RM 0.40
Air = RM 0.25
Elektrik = RM 0.15
________
Jumlah = RM 0.80
________

D. Kos pengeluaran / kos sajian untuk menghasilkan Makaroni Goreng dan air tembikai untuk dua orang

Kos sajian = kos bahan + kos upah + kos overhed
= RM 4.90 + RM 3.00 + RM 0.80
= RM 8.70

Kos sajian seunit = RM 8.704 /2
= RM 4.35